Sabtu, 8 Mac 2014

Hati Sihat/Qalbun Saliim


Bismillahir Rahmaanir Rahiim.

Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal darah. Jika segumpal darah itu tersebut baik maka akan baik pulalah seluruh tubuhnya, adapun jika segumpal darah tersebut rosak  maka akan rosak pulalah seluruh tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah tersebut adalah HATI (jantung).”
[Hadith Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim]

Hati memiliki peranan yang sangat penting bagi menentukan sesuatu hal itu baik mahupun tidak baik. Kerna, ia laksana seorang Maharaja yang memiliki kerajaan dan rakyatnya. Jika Maharaja ini baik terhadap pemerintahan dan rakyatnya, maka akan baik pulalah kerajaan yang ia pimpin tersebut. Andaikata Maharaja ini tidak baik maka hancur dan binasalah kerajaan yang ia pimpin sekaligus rakyatnya. Demikianlah peranan hati terhadap diri seseorang insan. Jika hati seseorang itu baik maka akan baiklah seseorang itu dan jika buruk maka binasalah.

Oleh hal demikian, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan kepada kaum muslimin agar menjaga hati. Kerana, hati ini memiliki sifat hidup dan mati. Hati yang hidup itulah yang diertikan sebagai hati yang sihat ataupun yang dipanggila sebagai “Qalbun Saliim”. Sungguh amat bahagia seseorang muslim sekiranya ia memiliki hati yang seperti ini. Disebutkan dalam al-Quran, Allah ‘azza wa jalla berfirman:

 يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ


“Pada hari yang harta dan anak-anak tiada berguna. Kecuali barangsiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang saliim.”
[Surah asy-Syu’ara:88-89]

Kita melihat, pelbagai macam jenis manusia pada hari ini mengertikan apa yang dimaksudkan dengan hati yang sihat. Namun, ia tetap bertemu pada titik temu yang sama yang mana hati yang sihat adalah hati yang terhindari daripada melakukan apa-apa yang dilarang oleh Allah ‘azza wa jalla. Terbebas daripada melakukan ibadah selain kepada Allah ‘azza wa jalla. Terbebas daripada melakukan sesuatu yang bukan datang daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta tidak mengambil hukum selain daripada petunjuk Nabi shallallahu alaihi wasallam. Hati yang sihat itu akan senantiasa mencintai sesuatu kerana Allah ‘azza wa jalla, mengikuti sunnah-sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, bertawakal kepada Allah ‘azza wa jalla semata dan mengharap serta tunduk patuh kepada Tuhan yang SATU.

Hati yang sihat itu tidak memungkinnya untuk beribadah kepada selain Allah ‘azza wajalla, seluruh ibadahnya ia tujukan kepada Allah ‘azza wa jalla, mengikhlaskan hati dan amalannya kepada Allah ‘azza wa jalla. Bila ia mencintai, cinta itu tidak lain dan tidak bukan atas dasar kecintaan kerana Allah ‘azza wa jalla, apabila ia membenci, ia membenci kerana Allah ‘azza wa jall, bila memberi, ia memberi kerana Allah ‘azza wa jalla dan bila ia menolak ia  menolak kerana Allah ‘azza wa jalla.

Untuk ini sahaja tidak cukup, perlu ditambahi dengan mengikuti segala peraturan yang Rasul shallallahu alaihi wasallam berikan kepada umat ini. Terbebas daripada mengambil hukum selain hukum yang telah ditetapkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mengikuti dan meneladani beliau baik dalam ucapan mahupun perbuatan, baik apa  yang terbisik dari hati mahupun apa yang diungkapkan lisan yang dipetik daripada hati.

Apa-apa juga perkara dan masalah baik kecil mahupun besar, sudah semestinya yang menjadi hakim dalam hal ini adalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak bertindak mendahului Allah dan Rasul-Nya baik dalam masalah keyakinan, perbuatan dan ucapan. Allah ‘azza wa jalla berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNYA.”
[Surah al-Hujurat:1]

Allah ‘azza wa jalla telah memberi peringatan kepada seluruh kaum muslimin supaya jangan berkata sebelum Rasul shallalahu ‘alaihi wasallam berkata, jangan lakukan apa-apa perbuatan sebelum Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam perintahkan untuk kita berbuat.

Khatimahnya, sebuah renungan, seorang ulama Salaf berkata:

“Setiap perbuatan sekecil apapun pasti akan ditanya dengan dua pertanyaan yakni mengapa dan bagaimana. Yakni, mengapa kamu berbuat dan bagaimana kamu berbuat? Pertanyaan pertama berkenaan dengan sebab, motivasi dan latar belakang perbuatan, apakah bertitik tolak daripada kepentingan dan cita-cita pelakunya di dunia seperti kesenangan dipuji, ketakutan terhadap celaan, keinginan memperoleh sesuatu yang disukai dan upaya menghindari sesuatu yang disukai dan upaya menghindari sesuatu yang dibenci di dunia ataukah perbuatan itu dilakukan dengan tujuan untuk menunaikan ibadah, meraih cinta Allah, mendekatkan diri kepada-Nya dan mencari jalan menuju redha-Nya?
Pertanyaan ini bermaksud untuk mengetahui apakah Anda melakukan perbuatn tersebut untuk Tuhan ataukah untuk kepentingan dan keinginan nafsu semata?
Adapun maksud pertanyaan kedua adalah untuk mengetahui kadar mutaba’ah (meneladani) kepada Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam ibadah tersebut. Artinya apakah perbuatan tersebut telah Aku perintahkan kepadamu melalui lisan Rasul-Ku ataukah tidak Aku perintahkan dan tidak Aku redhoi?

Pertanyaan pertama mengenai keikhlasan sedangkan yang kedua mengenai mutaba’ah. Sebab, Allah ‘azza wa jalla tidak akan menerima amal kecuali dengan keduanya.

Antisipasi terhadap pertanyaan pertama adalah dengan memurnikan keikhlasan, sedangkan terhadap pertanyaan kedua adalah dengan merealisasikan mutaba’ah dengan sebenar-benarnya. Hati harus bersih dari keinginan yang bertentangan dengan keikhlasan dan dari nafsu yang bertentangan dengan mutaba’ah. Inilah hakikat kesihatan bagi hati yang dijamin selamat dan berbahagia.”  

Faedah dipetik daripada Bab 1 dari Kitab Ighatsatul Lahfan Min Mashaidisy Syaithan/Menyelamatkan Hati daripada Tipu Daya Syaitan-Oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah rahimahullah ta’ala.

Terbitan al-Qowam, edisi cetakan ke-4.

Semoga bermanfaat.

Abu Hatim Aljimar
Pukul 0733, Country Height,
Kota Kinabalu, Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan