Selasa, 4 Mac 2014

Catatan Nota Kuliah Ustaz Abdul Wahab Al-Bustami-Kitab Riyadhus Sholihin


Bismillahir Rahmanir Rahiim.

Alhamdulillah 'ala kulli hal, hikmah berhijrah ke Kota Kinabalu atas urusan kerja memang terdapat 1001 hikmah yang Allah 'azza wa jalla berikan kepada daku. Antaranya, Allah 'azza wa jalla membentangkan kepada diri ini jalan untuk terus menuntut ilmu. Dikesempatan yang ringkas ini, daku ingin berkongsi catatan Kuliah Ustaz Abdul Wahab Bin Bustami al-Banjari yang berlangsung di Masjid Nurul Aman, Kg Cenderamata, Kota Kinabalu. Berikut Notanya, moga bermanfaat.

Bab Ke-45 (Menziarahi orang-orang baik, berdamping, sayangi, bersahabat, mengharap ziarah dari mereka dan menziarahi tempat-tempat baik)

(1) Banyak kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang menziarahi orang-orang yang baik, kerana ia akan mempengaruhi diri kita yakni mengikuti mereka dalam kebaikan. Ustaz Wahab membawakan hadith,


Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka."
(Riwayat Abu Dawud, sahih dari Abdullah bin Umar)

Maka apabila kita tasyabbuh (menyerupai) orang-orang baik ataupun ahli ilmu, maka kita akan beroleh kejayaan. Berbahagialah orang-orang yang meniru orang-orang baik ataupun ahli ilmu.
Kemudian, sebagai seorang muslim, kita wajib menyayangi orang yang berilmu ataupun dalam erti kata lain menyayangi orang beriman. Kerana, ia merupakan salah satu kesempurnaan iman seseorang hamba.

عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ خَادِمِ رَسُوْل الله عَنْ النَّبِي قَالَ : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik, khadim (pembantu) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, Beliau berkata,

“Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya”.
(Riwayat Al-Bukhari, Kitab Iman)

Juga sabda Nabi

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَـانِ: أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يَلْقَى فِى النَّـارِ.
(رَوَاهُ الْبُخَارِى وَمُسْلِمٌ وَغَيْرُهُمَا)


“Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Maka, setiap kaum muslimin pasti ingin merasakan kemanisan/kelazatan iman. Salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dengan menyayangi orang-orang beriman.

Seterusnya, Ustaz Abdul Wahab memetik dalil yang terdapat dalam bab ini yakni surah al-Kahfi:60-66 yang mengisahkan tentang Nabi Musa alaihis salam. Yang mana, Nabi Musa 'alaihissalam sanggup untuk berjalan hatta bertahun-tahun untuk menemui/menziarahi seorang hamba yang sholeh (Nabi Khidir) yang berada di seberang lautan kerana ingin mempelajari ilmu dengan beliau.

 وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتىٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِىَ حُقُبًا

 Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun".
(Surah Al-Kahfi: 60)

Selanjutnya Ustaz Abdul Wahab menyebutkan faedah kisah Nabi Musa yang tercatat dalam surah al-Kahfi tadi:

*Menjadi satu sunnah untuk kaum muslimin rehlah mencari ilmu. Kerana, Ulama dahulunya walaupun dalam keadaan dhoif dan serba kurang, mereka sanggup rehlah untuk mencari ilmu. Berbeza orang sekarang, yang lebih suka duduk dihadapan internet tanpa berusaha untuk rehlah mencari ilmu. Walaupun zaman sekarang teknologi semakin canggih, yang lebih utama adalah dengan rehlah menuntut ilmu.

*Ilmu diperoleh dengan cara belajar, cara belajar yang paling utama adalah dengan bertalaqqi (mendengar langsung dari guru).

*Banyak kemulian dan adab yang akan diperoleh sekiranya belajar ataupun duduk bersama-sama ulama.

*Anjuran untuk berusaha menambahkan ilmu. Tercatat dalam Quran, ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya tentang siapakah yang lebih berilmu lantas beliau menjawabnya sendiri bahawasanya beliau lah orang yang paling berilmu. (Catatan: Kisah pengembaraan Nabi Musa dirakamkan dalam Al-Quran. Manakala dialog/ pertanyaan 'siapa yang lebih berilmu dirakamkan dalam hadith riwayat Al-Bukhari & Muslim dari Ubay bin Ka'ab).

Tidak dinafikan lagi, Nabi Musa memang manusia yang paling berilmu, namun Allah 'azza wa jalla menegur Nabu Musa dengan menurunkan surah al-Kahfi:60-66 di atas, supaya Nabi Musa menambahkan ilmunya.

Ustaz Abdul Wahab membacakan satu doa tentang anjuran agar ditambahkan ilmu, ia tercatat dalam Surah Toha, firman Allah:

وَقُل رَبِّ زِدنى عِلمًا

"Katakan: Wahai Tuhanku, tambahkan ilmu."
(Surah Toha: 114)

*Sabar menuntut ilmu.

Kenapa Ulama dahulu mereka semuanya berjaya? Kerana, kesabaran mereka dalam menuntut ilmu. Kesabaran mereka sampaikan apabila mereka ingin mencari sebuah hadith atau riwayat, mereka sanggup menyelak setiap helaian kitab.

Ustaz Abdul Wahab menceritakan pengalaman beliau duduk bersama Syeikh Muhsin al-'Abbad hafizahullah. Syeikh membacakan setiapa perawi dari A sampai Z kepada salah seorang pelajarnya. Ini menunjukkan, kesabaran mereka membawa kesan yang mana mereka mampu menghafal setiap rawi-rawi dalam sesebuah hadith.

*Kejayaan hanya akan diperoleh oleh orang-orang yang sabar sebagaimana mana Nabi Musa sabar berjalan hingga baginda berjumpa Nabi Khidir dan belajar dengan beliau.

(2) Seterusnya, Ustaz Wahab membawakan ayat dalam surah al-Kahfi:28, yang mana ayat ini menyuruh agar kita bersabar duduk bersama-sama dengan orang-orang yang senantiasa ingat dan berdoa kepada Allah.

وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِىِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas."
(Surah Al-Kahfi: 28)

Iaitu, sabar bersama-sama mereka dengan cara tanpa mengenal adakah orang yang sentiasa mengingati Allah itu muda atau tua, kaya ataupun miskin, kuat ataupun lemah.

(3) Kemudian, Ustaz Abdul Wahab membacakan hadith tentang kisah Abu Bakar dan Umar menziarahi Ummu Aiman setelah kewafatan Baginda shallallahu 'alaihi wasallam.
Yang mana, sebelum Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam wafat, Baginda sering menziarahi Ummu Aiman. Maka, sudah menjadi satu kebiasaan para Sahabat akan melakukan hal yang Nabi sentiasa lazimi. Lalu, Abu Bakar dan Umar melakukan apa yang Nabi lakukan iaitu menziarahi Ummu Aiman.

Ketika Abu Bakar dan Umar sampai, Ummu Aiman menangis. Lalu,  kedua sahabat ini cuba memujuk hati Ummu Aiman bahawasanya apa yang Allah 'azza wa jalla takdirkan dengan mewafatkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ia merupakan kebaikan kepada Baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi, Ummu Aiman menangis bukan kerana kewafatan Baginda, akan tetapi Ummu Aiman menangis kerana wahyu sudah terputus dari langit. Mendengar jawapan Ummu Aiman ini, Abu Bakar dan Umar pun turut menangis. Kisah ini diriwayatkan olah Imam Muslim di dalam kitab Sahih-nya dari sahabat Anas bin Malik.

Faedah hadith ini:

*Menerangkan tentang keutamaan Ummu Aiman, yang mana beliau merupakan salah seorang wanita yang telah berkhidmat menjadi ibu susuan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

*Boleh menangisi pemergian orang yang soleh.

*banyak fitnah yang terjadi bila mana wahyu telah terputus.

Catatan kuliah oleh: Akhi Aljimar Almahir, Kota Kinabalu.
Semakan & edit: Akhi Mohd Riduan b Khairi, Kuching.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan