Selasa, 18 Mac 2014
Nasihat al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah Rahimahullah Ta’ala. (Siri 1)
Sabtu, 8 Mac 2014
Nasihat al-Fadhil Ustaz Reza Kepada Pemuda Sunni di Kota Kinabalu
Alhamdulillah, pada hari rabu yang bertarikh 5 Mac 2014, kami telah menerima kehadiran seorang Ustaz daripada semenanjung yang mana beliau ini merupakan orang yang tidak kurang pentingnya dalam gerakan dakwah Sunnah. Beliau ialah Ustaz Mohd Riza Kamaruddin.
Meminta nasihat kepada orang yang lebih ahli dan lebih berilmu merupakan salah satu sikap yang harus ada pada setiap mereka-mereka yang bergelar sebagai Tholibul 'Ilmi. Maka, kami mengambil kesempatan untuk meminta kepada beliau suatu nasihat buat kami ataupun yang lebih khusus lagi kepada pemuda Sunnidi Kota Kinabalu.
Berikut, nasihat beliau yang insya-Allah akan kami kongsikan di ruangan ini.
"Bismillah, alhamdulillahi was sholatu wassalamu 'ala rosulillahi wa 'ala alihi wa ashhabihi wa mau wa laa, amma ba'ad.
Untuk Adinda saya semuanya di Kota Kinabalu, saya suka berpesan kepada antum semua untuk terus memahami Manhaj Sunnah ini, tidak lain dan tidak bukan, antum semua kena sering hadir dalam majlis ilmu dan antum saya nasihatkan supaya memiliki kitab. Supaya, segala ilmu yang kita pelajari itu dapat kita cernakan dengan pembacaan kita yang lebih baik. Supaya ia lebih terus memantapkan aqidah dan manhaj kita.
Kerana di luar sana, kita dilingkungi dengan fitnah yang pelbagai . Maka untuk mencernakan semua fitnah, tohmahan dan sebagainya itu tidak lain dan tidak bukan dengan ILMU. Jadi, saya menyeru kepada semua adinda saya, supaya antum jangan tinggalkan majlis ilmu. Paling tidak, seminggu sekali antum mesti hadir jika punya kelapangan yang baik, di mana sahaja ada jadual pengajian yang antum kenal, guru yang bermanhaj Salaf, maka sebolehnya antum semua tidak menguzurkan diri untuk terus tetap belajar dan berdiskusi dengan para asatizah yang semanhaj dengan kita.
Kerana, untuk menelusuri gerak kerja salaf ini bukan suatu perkara main-main, sebab kita terlalu banyak halangan dan rintangan yang menanti kita bahkan musuh ada di sekeliling kita tanpa kita sedar sering merencana dan mengatur strategi untuk menghadapi kita. wallahu'alam." Selesai perkataan Ustaz.
Semoga bermanfaat buat kita semua.
Disampaikan oleh: Ustaz Mohd Riza Kamaruddin
Bertempat Di: Hotel Zara Beautique
Pada Pukul: 2347 PM.
Tanggal: 6 March 2014.
Transkrip oleh: Aljimar Almahir
Bertempat: Country Height.
Hati Sihat/Qalbun Saliim
يَوْمَ لَا
يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
“Pada hari yang harta dan anak-anak tiada berguna. Kecuali barangsiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang saliim.”
Selasa, 4 Mac 2014
Catatan Mp3 Kuliah Ustaz Abdullah Shaleh Hadrami-Silsilah Qowaid wa Ushul Fit Tafsir
Bismillahir Rahmaaniir Raahiim
Definisi al-Quran
Pertamanya, apa yang diertikan sebagai al-Quran?
Para Ulama mendefinisikan al-Quran dengan sangat mudah, al-Quran menurut istilah syariat adalah:
"Kalamullahu ta'ala al-munazzal 'ala rosulihi wa khootami anbiyaa-ihii Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam al-mabdu' fii suuratil fatihah, al-makhtum fii suuratinn Naas."
Maksudnya: al-Quran adalah firman Allah 'azza wa jalla yang diturunkan kepada Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam iaitu penutup para Nabi, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam yang dimulai dengan surah al-Fatihah dan ditutup dengan surah an-Nas.
Nuzulul Quran
Kemudian, Ustaz membacakan dalil yang terdapat di dalam surah Yunus:2:
"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu (dalam) bahasa arab supaya kamu memahami."
Seterusnya, Allah 'azza wa jalla berfirman:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran kepadamu (Muhammad) secara beransur-ansur."
(Surah al-Insan:23)
Bermaksud, memang benar dan pasti al-Quran itu daripada Allah 'azza wa jalla dan bukan daripada Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.Kebiasaanya, Para Ulama Aqidah mendefinisikan Quran ini mereka berkata:
"al-Quran ini dari Allah dan akan kembali kepadaNya."
Maksudnya, yang berfirman itu memang dari Allah Tabaraka wa Ta'ala. Ketika kita membaca Quran, bererti yang kita baca itu adalah firman Allah 'azza wa jalla.
Kemudian, diantara makna "Kembali kepada Allah" itu disebutkan di dalam riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim yang disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh Imam adz-Dzahabi dan asy-Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani melalui jalan Sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, Hudzaifah ibn al-Yaman radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberitahukan:
"Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, lelaki dan perempuan.
Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga".
Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah"?
Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).
Maka, bila sampai zamannya, mushaf-mushaf yang kita pegang sekarang ini akan tinggal hanya helaian kertas sahaja, adapun ayat-ayatnya dicabut dan dihilangkan oleh Allah 'azza wa jalla, demikian juga para penghafal Quran, bila tiba zaman tersebut, hafalannya akan hilang. Inilah gambaran yang dikhabarkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjelang hari kiamat, yang mana manusia saat itu adalah manusia yang paling buruk.
Seterusnya, jangan diragukan bahawasanya al-Quran yang ada dihadapan kita yang terletak di rak buku yang kandungannya ada 30 Juzuk, memang pasti dan pasti itulah al-Quran. Kerana, Allah 'azza wa jalla yang menjaga al-Quran tersebut.
Firman Allah 'azza wa jalla:
"Kami menurunkan al-Quran dan Kami pasti menjaga al-Quran."
(Surah al-Hijr:9)
Inilah janji Allah 'azza wa jalla, tidak akan berubah, bertambah dan berkurang. Sesiapa sahaja yang berusaha berbuat demikian, Allah tabaraka wa ta'ala pasti akan membongkar kedoknya nanti.Bahkan, 1400 tahun yang lalu, Allah 'azza wa jalla telah mencabar kepada manusia-manusia yang tidak beriman ini agar membuat satu surah untuk menandingi al-Quran. Ternyata, sehingga sekarang, manusia-manusia yang tidak beriman itu tidak mampu dan tidak akan dapat.
Membuktikan, al-Quran benar-benar dijaga dan dipelihara oleh Allah 'azza wa jalla.
Selanjutnya, al-Quran turun kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pertama-tama sekali adalah pada bulan Ramadhan, yakni pada malam Lailatul Qadr. Malam yang Allah 'azza wa jalla janjikan terdapat berkahnya. Sebagaimana yang Allah 'azza wa jalla firmankan di dalam surah al-Qadr:1:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan."
Juga dalam surah ad-Dukhaan:3:
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam yang penuh berkah."
Kemudian, di dalam surah al-Baqarah:185:
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil)."
Kesimpulan yang dapat dipetik melalui tiga ayat yang mulia di atas bahawasanya:
*al-Quran turun pada bulan ramadhan yakni pada malam Lailatul Qadr, ketika itu usia Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam 40 tahun semasa di Gua Hira. Diusia seperti ini, kebanyakan para Nabi diutus. Usia 40 tahun merupakan usia yamg dewasa dan sangat matang.
Selanjutnya, tiada khilaf dari kalangan Ulama bahawasanya al-Quran ataupun surah yang pertama yang diturunkan Allah 'azza wa jalla dan disampaikan melalui Jibril kepada Nabi shallallah 'alaihi wasallam adalah surah al-'Alaq yakni ayat 1-5:
"Iqro' bismirobbikal ladzii kholaq......"
Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu dan yang lainnya mengatakan:
"Al Qur’an secara keseluruhan diturunkan dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Lalu diturunkan beransur-ansur kepada Rasul shallallahu ‘alaihi wa sallam- sesuai dengan peristiwa-peristiwa dalam jangka waktu 23 tahun.”
(Hadith Riwayat Thabari, An-Nasai dalam Sunan al-Kubra, Al-Hakim dalam Mustadrak, Al-Baihaqi dalam Dalailun Nubuwwah. Hadits ini dishahihkan oleh Al-Hakim dan disetujui oleh Adz-Dzahabi.)
Adapun selama 23 tahun itu:
*13 Tahun di Makkah
* dan 10 tahun di Madinah.
Kemudian, setelah ayat dan surah pertama dari surah al-'Alaq turun, selepas itu wahyu sempat terputus, baru turun ayat ataupun surah yang kedua dari Surah al-Muddatstsir ayat 1-5. Sebagaimana yang disebutkan di dalam ash-Shahihain.
Selanjutnya, al-Quran itu turun melalui dua cara iaitu:
*cara yang pertama yang dikenali sebagai 'Ibtidaiy.
*cara yang kedua adalah 'Sababiy'
Yang dimaksudkan dengan 'Ibtidaiy' ialah, al-Quran itu turun tanpa diiringi sebab yang melatar belakanginya. Kebanyakan al-Quran itu turun melalui cara 'Ibtidaiy'.Kemudian, ada pula al-Quran yang turun dengan cara 'Sababiy'. Bermaksud, ia turun didahului sebab yang melatar belakanginya sehingga kita mengenal dalam ilmu tafsir ada yang disebut sebagai 'Asbabun Nuzul'.
Al-Quran yang turun melalui cara kedua ini terjadi dengan pelbagai macam atau ragam, kadang ia turun disebabkan pertanyaan yang dilakukan oleh Para Sahabat kemudian Allah 'azza wa jalla menurunkan jawapannya. Sebagai contoh di dalam surah al-Baqarah:189:
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredharan) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredharan) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji......."
Para Sahabat bertanya lalu Allah 'azza wa jalla menjawabnya dengan cara diturunkan ayat.
Atau ada juga sebab melalui perbuatan tertentu yang memerlukan penjelasan hukum. Sebagaimana kisah Khaulah bin Tsa'labah yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengadukan perihal suaminya yang menyamakan beliau dengan ibunya. Maka, Allah 'azaa wa jalla menurunkan surah al-Mujadilah ayat 1-4 sebagai jawapan bagi pertanyaan Khaulah kepada Baginda shallallahu 'alaihi wasallam.
Kemudian, ada satu kaedah dalam ilmu Tafsir yang berbunyi:
"Yang menjadi ibroh (pengajaran) adalah keumuman lafaz. Bukan kekhususan sebab."
Jadi, walaupun sesetengah ayat itu turun dengan sebab tertentu, tapi hukum ayat itu umum. Siapapun yang melakukan kejadian seperti itu, ia tercakup dalam ayat itu.
Contoh yang paling mudah sebagaimana yang tercatat dalam surah al-Fatihah:6-7:
"Tunjukilah kami jalan yang lurus, Iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang telah Engkau murkai dan bukan (pula) jalan orang-orang sesat."
Diterangkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sahabat 'Adi bin Abu Hatim radhiallahu 'anhu dalam hadith yang panjang, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Sesungguhnya yahudi itu adalah yang dimurkai dan Nashara adalah yang disesatkan."
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi dalam sunannya dan disahihkan oleh asy-Syeikh al-Albani dalam Sahiihul Jami')
Kenapa yahudi adalah golongan yang dimurkai? Kerana, mereka adalah golongan yang memiliki ilmu namun tidak menggunakan ilmu tersebut. Adapaun nashara, mereka tersesat kerana mereka suka beramal tanpa didasari ilmu. Maka, tercakup dalam hal ini sesiapa sahaja yang menyerupai dua golongan ini, maka ia dimurkai dan tersesat dari jalan Allah 'azza wa jalla.
Maka, al-Quran ini hidup. Relevan sepanjang zaman dan tidak hairan kalau kita termasuk ke dalamnya.
Al-Quran: Makkiyah dan Madaniyah
Yang terakhir, di dalam al-Quran kita akan menemukan ada yang disebut sebagai ayat Makkiyah dan ayat Madaniyyah. Apa yang dimasudkan sebagai ayat Makkiyah dan Madaniyyah? Para Ulama mendefinisikan:"
Ayat Makkiyah itu adalah ayat yang turun kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebelum hijrah ke Madinah."
Jadi, ayat yang turun di Mekkah selama 13 tahun itu namanya ayat Makkiyah. Adapun ayat Madaniyyah:
"Yang turun setelah Nabi hijrah ke Madinah."
Selama 10 tahun di Madinah, ayat yang turut tersebut dinamakan ayat Madaniyyah. Namun, perlu kita ketahui bahawasanya, ayat yang turun selepas Nabi Hijrah walaupun turun di Mekkah itu juga dinamakan sebagai ayat madaniyyah. Seperti ayat terakhir dalam surah al-Maidah:3. Ayat ini turun di Mekkah ketika Hajjatul Wada' (Haji perpisahan) bahkan turunnya di 'Arofah, tapi turunnya setelah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam hijrah ke Madinah.
Kemudian, terdapat perbezaan antara ayat madaniyyah dan makkiyah iaitu:
*Dari sudut gaya bahasa.
Ayat-ayat yang turun di Mekkah itu gaya bahasanya keras dan tegas. Sebabnya, yang diajak berbicara itu adalah golongan pembangkang, sombong dll seperti Abu Jahal. Yang mana mereka ini layak mendapatkan gaya bahasa seperti itu yakni tegas dan keras.
Adapun ayat yang turun di Madinah, gaya bahasanya lunak, lemah lembut dll. Kerana, yang diajak berbicara adalah orang-orang yang beriman, orang-orang yang sudah tunduk dan patuh kepada perintah Allah 'azza wa jalla.
*Surah al-Makkiyah itu rata-rata ayat-ayatnya pendek dan ringkas. Sementara surah yang turun di Madinah itu kebanyakkan ayatnya panjang-panjang dan menjelaskan perincian hukum-hakam.
*Dari sudut pembahasan, surah-surah yang turun di Mekah itu kebanyakan berbicara tentang masalah Aqidah. Sebabnya, kebanyakan orang-orang kafir mengingkarinya yakni dalam masalah aqidah berupa masalah Qadho dan Qadar, iman kepada Nabi, iman kepada hari akhir dll. Adapun surah-surah madinah, kebanyakan bercerita tentang perincian hukum, muamalah, ibadah. Kerana, aqidah dan tauhid mereka itu sudah lurus. Maka, mereka inginkan perincian-perinciannya.
Selain itu, ayat-ayat yang madinah juga berbicara tentang masalah Jihad, hukum-hukum Jihad dan tentang orang Munafik. Sebabnya, Jihad hanya berlaku semasa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ada di Madinah dan para munafik juga muncul di Madinah.
*Seterusnya, ciri ayat Makkiyah itu seruannya "Ya Aiyuhannas (Wahai Manusia)..."
kalau ayat Madaniyyah pula seruannya "Ya Aiyuhal Ladziina Aamanuu(Wahai orang-orang yang beriman)......"Wallahu'alam.
Catatan Nota Kuliah Ustaz Abdul Wahab Al-Bustami-Kitab Riyadhus Sholihin
Bismillahir Rahmanir Rahiim.
Alhamdulillah 'ala kulli hal, hikmah berhijrah ke Kota Kinabalu atas urusan kerja memang terdapat 1001 hikmah yang Allah 'azza wa jalla berikan kepada daku. Antaranya, Allah 'azza wa jalla membentangkan kepada diri ini jalan untuk terus menuntut ilmu. Dikesempatan yang ringkas ini, daku ingin berkongsi catatan Kuliah Ustaz Abdul Wahab Bin Bustami al-Banjari yang berlangsung di Masjid Nurul Aman, Kg Cenderamata, Kota Kinabalu. Berikut Notanya, moga bermanfaat.
Bab Ke-45 (Menziarahi orang-orang baik, berdamping, sayangi, bersahabat, mengharap ziarah dari mereka dan menziarahi tempat-tempat baik)
(1) Banyak kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang menziarahi orang-orang yang baik, kerana ia akan mempengaruhi diri kita yakni mengikuti mereka dalam kebaikan. Ustaz Wahab membawakan hadith,
Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka."
(Riwayat Abu Dawud, sahih dari Abdullah bin Umar)
Maka apabila kita tasyabbuh (menyerupai) orang-orang baik ataupun ahli ilmu, maka kita akan beroleh kejayaan. Berbahagialah orang-orang yang meniru orang-orang baik ataupun ahli ilmu.
Kemudian, sebagai seorang muslim, kita wajib menyayangi orang yang berilmu ataupun dalam erti kata lain menyayangi orang beriman. Kerana, ia merupakan salah satu kesempurnaan iman seseorang hamba.
عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ خَادِمِ رَسُوْل الله عَنْ النَّبِي قَالَ : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Dari Abu Hamzah Anas bin Malik, khadim (pembantu) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, Beliau berkata,
“Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya”.
(Riwayat Al-Bukhari, Kitab Iman)
Juga sabda Nabi
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَـانِ: أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يَلْقَى فِى النَّـارِ.
(رَوَاهُ الْبُخَارِى وَمُسْلِمٌ وَغَيْرُهُمَا)
“Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)
Maka, setiap kaum muslimin pasti ingin merasakan kemanisan/kelazatan iman. Salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dengan menyayangi orang-orang beriman.
Seterusnya, Ustaz Abdul Wahab memetik dalil yang terdapat dalam bab ini yakni surah al-Kahfi:60-66 yang mengisahkan tentang Nabi Musa alaihis salam. Yang mana, Nabi Musa 'alaihissalam sanggup untuk berjalan hatta bertahun-tahun untuk menemui/menziarahi seorang hamba yang sholeh (Nabi Khidir) yang berada di seberang lautan kerana ingin mempelajari ilmu dengan beliau.
وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتىٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِىَ حُقُبًا
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun".
(Surah Al-Kahfi: 60)
Selanjutnya Ustaz Abdul Wahab menyebutkan faedah kisah Nabi Musa yang tercatat dalam surah al-Kahfi tadi:
*Menjadi satu sunnah untuk kaum muslimin rehlah mencari ilmu. Kerana, Ulama dahulunya walaupun dalam keadaan dhoif dan serba kurang, mereka sanggup rehlah untuk mencari ilmu. Berbeza orang sekarang, yang lebih suka duduk dihadapan internet tanpa berusaha untuk rehlah mencari ilmu. Walaupun zaman sekarang teknologi semakin canggih, yang lebih utama adalah dengan rehlah menuntut ilmu.
*Ilmu diperoleh dengan cara belajar, cara belajar yang paling utama adalah dengan bertalaqqi (mendengar langsung dari guru).
*Banyak kemulian dan adab yang akan diperoleh sekiranya belajar ataupun duduk bersama-sama ulama.
*Anjuran untuk berusaha menambahkan ilmu. Tercatat dalam Quran, ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya tentang siapakah yang lebih berilmu lantas beliau menjawabnya sendiri bahawasanya beliau lah orang yang paling berilmu. (Catatan: Kisah pengembaraan Nabi Musa dirakamkan dalam Al-Quran. Manakala dialog/ pertanyaan 'siapa yang lebih berilmu dirakamkan dalam hadith riwayat Al-Bukhari & Muslim dari Ubay bin Ka'ab).
Tidak dinafikan lagi, Nabi Musa memang manusia yang paling berilmu, namun Allah 'azza wa jalla menegur Nabu Musa dengan menurunkan surah al-Kahfi:60-66 di atas, supaya Nabi Musa menambahkan ilmunya.
Ustaz Abdul Wahab membacakan satu doa tentang anjuran agar ditambahkan ilmu, ia tercatat dalam Surah Toha, firman Allah:
وَقُل رَبِّ زِدنى عِلمًا
"Katakan: Wahai Tuhanku, tambahkan ilmu."
(Surah Toha: 114)
*Sabar menuntut ilmu.
Kenapa Ulama dahulu mereka semuanya berjaya? Kerana, kesabaran mereka dalam menuntut ilmu. Kesabaran mereka sampaikan apabila mereka ingin mencari sebuah hadith atau riwayat, mereka sanggup menyelak setiap helaian kitab.
Ustaz Abdul Wahab menceritakan pengalaman beliau duduk bersama Syeikh Muhsin al-'Abbad hafizahullah. Syeikh membacakan setiapa perawi dari A sampai Z kepada salah seorang pelajarnya. Ini menunjukkan, kesabaran mereka membawa kesan yang mana mereka mampu menghafal setiap rawi-rawi dalam sesebuah hadith.
*Kejayaan hanya akan diperoleh oleh orang-orang yang sabar sebagaimana mana Nabi Musa sabar berjalan hingga baginda berjumpa Nabi Khidir dan belajar dengan beliau.
(2) Seterusnya, Ustaz Wahab membawakan ayat dalam surah al-Kahfi:28, yang mana ayat ini menyuruh agar kita bersabar duduk bersama-sama dengan orang-orang yang senantiasa ingat dan berdoa kepada Allah.
وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِىِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas."
(Surah Al-Kahfi: 28)
Iaitu, sabar bersama-sama mereka dengan cara tanpa mengenal adakah orang yang sentiasa mengingati Allah itu muda atau tua, kaya ataupun miskin, kuat ataupun lemah.
(3) Kemudian, Ustaz Abdul Wahab membacakan hadith tentang kisah Abu Bakar dan Umar menziarahi Ummu Aiman setelah kewafatan Baginda shallallahu 'alaihi wasallam.
Yang mana, sebelum Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam wafat, Baginda sering menziarahi Ummu Aiman. Maka, sudah menjadi satu kebiasaan para Sahabat akan melakukan hal yang Nabi sentiasa lazimi. Lalu, Abu Bakar dan Umar melakukan apa yang Nabi lakukan iaitu menziarahi Ummu Aiman.
Ketika Abu Bakar dan Umar sampai, Ummu Aiman menangis. Lalu, kedua sahabat ini cuba memujuk hati Ummu Aiman bahawasanya apa yang Allah 'azza wa jalla takdirkan dengan mewafatkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ia merupakan kebaikan kepada Baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi, Ummu Aiman menangis bukan kerana kewafatan Baginda, akan tetapi Ummu Aiman menangis kerana wahyu sudah terputus dari langit. Mendengar jawapan Ummu Aiman ini, Abu Bakar dan Umar pun turut menangis. Kisah ini diriwayatkan olah Imam Muslim di dalam kitab Sahih-nya dari sahabat Anas bin Malik.
Faedah hadith ini:
*Menerangkan tentang keutamaan Ummu Aiman, yang mana beliau merupakan salah seorang wanita yang telah berkhidmat menjadi ibu susuan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
*Boleh menangisi pemergian orang yang soleh.
*banyak fitnah yang terjadi bila mana wahyu telah terputus.
Catatan kuliah oleh: Akhi Aljimar Almahir, Kota Kinabalu.
Semakan & edit: Akhi Mohd Riduan b Khairi, Kuching.
